Dua Rakan Didakwa Perdagang Remaja Kembar Bawah Umur Untuk Eksploitasi Seks

SERI MANJUNG: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seri Manjung pada Rabu atas tuduhan memperdagangkan pasangan kembar perempuan berusia 14 tahun bagi tujuan eksploitasi seksual sejak Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Mustaqim Mohd Zuber, 25, dan Syazwani Mohd Hashim, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memperdagangkan remaja berkenaan di sebuah apartmen di Jalan Utama Marina Island Teluk Muruh, Lumut antara 12 Mei hingga 15 Jun 2025.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan, namun memohon sekiranya mahkamah mempertimbangkannya, jumlah ditetapkan antara RM15,000 hingga RM20,000 bersama syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi.

Dalam rayuan, Syazwani yang bekerja sebagai pembantu klinik memohon jaminan dikurangkan kerana berasal daripada keluarga susah, manakala Mustaqim yang bekerja membaiki telefon turut merayu jaminan minimum kerana tidak berpendapatan tetap.

Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.

Hakim turut mengingatkan tertuduh supaya tidak mengganggu saksi, termasuk mangsa, sehingga perbicaraan selesai.

Kes berkenaan ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 September depan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang masih bersekolah dan kini dijaga datuk serta nenek mereka, mengenali tertuduh melalui media sosial sejak Mei lalu.

BBerkaitan

Latest articles