Dua Polis Ditahan Disyaki Peras Ugut, Mangsa Maut Ketika Mahu Serah Wang

BALING: Dua anggota polis direman selepas didakwa terlibat dalam kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang kemudian meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum sempat menyerahkan wang diminta.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, kedua-dua anggota terbabit berusia 24 dan 27 tahun, kini disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Kes terbongkar selepas seorang wanita berusia 74 tahun membuat laporan polis pada jam 1.15 pagi, Sabtu lalu.

Menurut wanita itu, anak lelakinya yang berusia 32 tahun pulang ke rumah pada Jumaat petang dalam keadaan resah, mendakwa ditahan polis ketika menunggang motosikal.

Mangsa memberitahu ibunya bahawa telefon bimbitnya dirampas, dan untuk mendapatkannya semula, dia diminta menyediakan wang tunai sebanyak RM200.

Namun, ketika dalam perjalanan untuk menyerahkan wang, lelaki itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Klinik Kesihatan Parit Panjang.

“Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa. Bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) mengesahkan kematian berpunca daripada serangan jantung mendadak (acute myocardial infarction),” jelas Ahmad Salimi.

Katanya, meskipun tiada kaitan langsung kematian dengan perbuatan kedua-dua anggota, siasatan terhadap dakwaan pemerasan tetap dijalankan.

“Kertas siasatan tatatertib juga telah dibuka bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.

Hasil semakan mendapati kedua-dua anggota terbabit tidak mempunyai rekod jenayah, manakala ujian air kencing mereka negatif dadah.

Mereka direman selama dua hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles