KUALA LUMPUR— Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mempersoalkan kewajaran tindakan menyita semula Menara Ilham, menyifatkannya sebagai berpotensi melanggar prinsip keadilan dan ketelusan undang-undang.
Menurut beliau, penyitaan kali kedua yang dilakukan pada 4 Jun 2025 di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) menimbulkan persoalan serius, memandangkan aset berkenaan sudah pun disita di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM sejak 18 Disember 2023.
“Walaupun SPRM dan AMLA beroperasi dalam kerangka perundangan yang berbeza, dua penyitaan serentak ke atas harta yang sama boleh menimbulkan persepsi sebagai tindakan yang tidak berkadar,” katanya dalam satu kenyataan.
Dzulkifli yang kini merupakan seorang peguam berkata, tindakan penyitaan di bawah Seksyen 38 Akta SPRM mensyaratkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berpuas hati bahawa aset tersebut merupakan hasil atau bukti berkaitan dengan kesalahan rasuah.
Bagaimanapun, katanya, jika tiada sebarang pertuduhan atau prosiding pelucuthakan sivil dimulakan sebelum tempoh 18 bulan tamat pada 17 Jun 2025, maka wajar dipersoalkan sama ada penyitaan asal itu berasas atau tidak.
“Kuasa undang-undang mesti dilaksanakan berdasarkan keperluan, keadilan dan prinsip proportionality. Ia tidak boleh digunakan semata-mata untuk mengekalkan kawalan ke atas aset tanpa tindakan susulan yang sah,” tegas beliau.
Dzulkifli turut memberi amaran bahawa undang-undang tidak harus digunakan sebagai sandaran kepada kelemahan pentadbiran atau kelewatan prosedur.
“Sekiranya penyitaan berdasarkan AMLA digunakan hanya untuk menggantikan atau melanjutkan penyitaan sedia ada yang bakal tamat tempoh, tindakan ini boleh mencabar prinsip ketentuan undang-undang (rule of law),” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud bukti baharu yang sahih yang boleh menyokong sitaan kali kedua itu.
“Jika Menara Ilham benar-benar tidak dikaitkan dengan apa-apa kesalahan rasuah, maka timbul persoalan kritikal — mengapa baru kini wujud penyitaan baharu di bawah Seksyen 51 AMLA? Apakah terdapat bukti baharu atau sekadar strategi mengekalkan kawalan terhadap aset ini?”
Menurut beliau, perkembangan berkaitan Menara Ilham kini menjadi medan ujian penting terhadap sejauh mana pihak berkuasa boleh menyeimbangkan pelaksanaan kuasa undang-undang dengan prinsip keadilan dan ketelusan.
“Menjelang tarikh akhir 17 Jun, semua pihak sedang memerhati. Apakah akan ada pendakwaan? Pelucuthakan sivil? Atau adakah perintah itu akan luput begitu sahaja — yang bakal menandakan aset ini sejak awal disasarkan secara tidak wajar?” kata Dzulkifli.