KUALA LUMPUR: Pesalah berulang kes khalwat di Terengganu hari ini selesai menjalani hukuman sebat sebanyak enam kali di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, selepas solat Jumaat tadi.
Prosedur itu berlangsung selama dua minit dengan pegawai sebat dari Penjara Marang mengambil tanggungjawab berkenaan.
Seramai 90 individu termasuk exco kerajaan negeri turut menyaksikan pelaksanaan sebatan diadakan di Dewan ‘AAsim masjid berkenaan.
Terdahulu, Affendi, 42, yang juga tukang rumah tiba di masjid berkenaan kira-kira 2.28 petang dengan diiringi pegawai penjara sebelum dibawa ke bilik khas untuk pemeriksaan kesihatan.
Selepas pegawai perubatan mengisytiharkan Affendi layak menjalani hukuman, ia kemudian dijalankan tepat jam 2.50 petang.
Selesai menjalani sebatan, Affendi dibawa ke bilik khas untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa kembali ke Penjara Marang.
Affendi pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Kemudian, dia menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di penjara dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Feb lalu.
Pada 20 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman enam sebatan di khalayak ramai terhadap Affendi atas kesalahan khalwat berulang, yang juga kesalahan ketiganya.
Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan sebatan hingga enam kali, denda hingga RM5,000 atau tiga tahun penjara berkuat kuasa 1 Jan lalu.