Dua Lelaki Ditahan Kes Sebat Patung Mirip PM

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 47 tahun kerana dipercayai terlibat dalam insiden menyebat sebuah patung yang menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya turut merampas beberapa peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik dan menyebarkan kandungan berhubung insiden tersebut di media sosial.

“Permohonan reman ke atas kedua-dua individu yang ditahan akan dibuat bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Siasatan kini dijalankan di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan penghinaan yang boleh menyebabkan gangguan ketenteraman awam, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Usuf Jan Mohamad, mengesahkan siasatan awal mengenai insiden tersebut telah dimulakan sejurus rakaman tular dimuat naik ke media sosial.

Dalam pada itu, Khalid turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan beretika dalam menggunakan media sosial, khususnya ketika menyuarakan pandangan terhadap pemimpin negara.

“Gunakan platform media sosial secara berhemah. Jangan jadikannya alat untuk menghasut atau menyemai kebencian yang boleh menggugat ketenteraman awam dan perpaduan masyarakat,” tegas beliau.

Rakaman insiden yang memaparkan aksi simbolik menyebat patung menyerupai perdana menteri itu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, dengan ramai menyifatkannya sebagai tindakan biadab dan keterlaluan.

Polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan insiden tersebut agar tampil membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles