Dua Jurujual Dicekup Jam 2 Pagi Dalam Kereta Laku Seks Oral

KUALA LUMPUR: Tindakan dua lelaki tempatan yang disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh dalam sebuah kenderaan membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam satu rondaan cegah jenayah di kawasan Sentul, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 29 tahun itu dicekup kira-kira jam 2 pagi di Zon Sri Murni, Jalan Taman Intan Baiduri selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah kereta jenis Proton X50.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai jurujual telefon berkenaan dipercayai melakukan perbuatan seks oral serta berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menemukan satu gumpalan tisu berwarna putih dipercayai mengandungi cecair di lantai tempat duduk penumpang belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Sukarno, semakan awal mendapati kedua-dua suspek serta kenderaan yang digunakan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Susulan itu, kedua-dua lelaki terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati salah seorang suspek mengaku melakukan perbuatan seks oral terhadap seorang lagi suspek di dalam kenderaan tersebut,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua suspek telah direman selama tiga hari bermula 30 Januari hingga 1 Februari lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara, sementara siasatan lanjut masih diteruskan.

BBerkaitan

Latest articles