GEORGE TOWN: Polis menahan dua individu dipercayai terlibat dalam perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan Cina di Air Itam, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam, melibatkan insiden yang berlaku di Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung pada Ahad lalu.
Menurut beliau, seorang wanita berusia 37 tahun ditahan di sebuah flat berhampiran Jalan Padang Tembak, George Town, manakala seorang lelaki berusia 58 tahun diberkas di Jalan Paya Terubong, Sungai Ara.
“Kedua-dua suspek telah mengaku terlibat dalam kes ini dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kes disiasat atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh, menghina kehormatan serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan pasangan berkenaan dikonfrontasi orang awam selepas didakwa berkelakuan tidak senonoh di hadapan batu nisan di kawasan perkuburan tersebut.
Sementara itu, laporan media turut memetik Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail sebagai mengesahkan bahawa kedua-dua individu berkenaan bukan pasangan suami isteri.










