Dua Das Tembakan Dilepaskan Nyaris Terkena Komander AKPS Bukit Hitam

BUKIT KAYU HITAM: Seorang komander kanan keselamatan sempadan nyaris menjadi mangsa tembakan dalam insiden mengejutkan di sini awal pagi tadi.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berdepan detik cemas apabila dua das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan dipandunya kira-kira jam 5.40 pagi.

Ketika kejadian, beliau difahamkan dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Subuh dengan memandu Proton S70 jenis SUV.

Secara tiba-tiba, dua individu menaiki motosikal dengan lampu dipadamkan menghampiri kenderaannya sebelum salah seorang suspek melepaskan tembakan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, dua peluru berkenaan mengenai pintu belakang sebelah kanan dan pintu penumpang hadapan kenderaan mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek memakai topi keledar penuh sebelum melarikan diri ke arah kawasan perindustrian berhampiran sejurus selepas kejadian.

Siasatan kini dijalankan secara menyeluruh termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi.

Difahamkan, tempat kejadian terletak kira-kira satu kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Polis tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk motif serangan yang menyasarkan pegawai kanan keselamatan sempadan itu.

BBerkaitan

Latest articles