KUALA LUMPUR: Dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila ditemui dalam keadaan separuh sedar selepas terperangkap dalam kebakaran yang berlaku di sebuah apartmen di Taman Megah Emas, semalam.
Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai berada di rumah tanpa pengawasan ibu bapa yang keluar bekerja.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa yang terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia antara empat hingga enam tahun ditemui oleh anggota bomba di dalam sebuah bilik.
Menurutnya, pasukan penyelamat menjumpai kedua-dua mangsa dalam keadaan separuh sedar ketika operasi menyelamat dijalankan.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian ibu mereka dipercayai keluar bekerja manakala bapa pula sedang menjalankan perkhidmatan p-hailing,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua kanak-kanak tersebut berjaya dikeluarkan dari kediaman berkenaan sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan penyelamat.
Mangsa kemudian dihantar ke Kelana Jaya Medical Centre untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Terdahulu, kejadian kebakaran yang berlaku di apartmen tersebut mencetuskan kebimbangan penduduk setempat apabila asap tebal dilihat keluar dari unit kediaman berkenaan sebelum pihak bomba berjaya mengawal keadaan.










