Dua Beradik Ditahan Ketika Sedang Bawa 79 Unit Mesin Melombong Bitcoin

Polis menahan dua beradik di kawasan Karangan, Sungai Kob, di Kulim, Kedah petang kelmarin, selepas mendapati lori dinaiki mereka membawa 79 unit mesin bitcoin bernilai RM237,000.

Kedua-dua lelaki berusia 21 dan 27 tahun itu ditahan jam 5 petang kerana gagal memberi keterangan terhadap mesin bitcoin yang dibawa.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata tangkapan dilakukan ketika anggota Balai Polis Sungai Kob dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim sedang melakukan tugas rondaan di kawasan itu.

Beliau berkata, anggotanya terserempak dengan lori dinaiki dua beradik berkenaan dalam keadaan mencurigakan dan selepas gagal memberi keterangan terhadap 79 unit mesin bitcoin dibawa, dua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan, dua beradik itu mendakwa menerima arahan menghantar barangan daripada seorang lelaki melalui panggilan telefon yang meminta mereka mengambil barang di kedai kawasan Sungai Kob untuk dihantar ke kawasan Sungai Petani.

“Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan maklumat berkaitan pemilikan mesin bitcoin dan dokumen diperlukan, jadi ia menimbulkan syak mesin itu dipercayai dicuri untuk dijual,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, hari ini.

Azhar berkata, setiap satu mesin bitcoin itu mampu mencecah lebih RM3,000 sekiranya dijual.

Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan atau kecurian membabitkan mesin bitcoin ini.

“Berikutan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan munasabah terhadap mesin bitcoin dibawa dan dua beradik itu direman sehari.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Azhar berkata, penggunaan mesin bitcoin menjadi trend di negara ini sejak 2014 dalam penjanaan mata wang ‘crypto’.

“Mesin bitcoin biasaanya digunakan di bangunan premis kosong dan satu mesin ini menggunakan elektrik sehingga RM500 sebulan.

“Disebabkan itu, pengguna mesin bitcoin dalam kuantiti yang banyak biasanya mencuri arus elektrik di bangunan premis bagi menjimatkan bil elektrik dan ini satu kesalahan mengikut Akta Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles