Dua Beradik Ditahan Bantu Siasatan Kes Bayi Ditinggalkan Di Baby Hatch

KUALA LUMPUR: Dua beradik ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang bayi yang diletakkan di pusat perlindungan bayi sebuah hospital swasta di Kuantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata kedua-dua wanita berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan secara berasingan di Rompin.

Menurut Wan Mohd Zahari, suspek pertama, seorang penganggur berusia 24 tahun, ditahan di sebuah rumah kira-kira jam 9.50 pagi.

“Pemeriksaan di bilik tidur suspek menemukan satu plastik putih bertutup rapat dengan tulisan ‘Ubat Terkawal/Controlled Medicine’ dan ‘ADV’. Plastik itu mengandungi tiga peket plastik lut sinar berisi pil yang disyaki digunakan untuk memaksa kelahiran,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sementara itu, kakak suspek yang merupakan individu kedua ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin sekitar jam 3 petang.

Wan Mohd Zahari berkata kedua-dua suspek kini direman hingga 13 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan perbuatan menyebabkan keguguran atau kematian bayi dengan niat tertentu.

Kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles