Dua Ahli Akademik Nafi Sokong Anwar Jadi PM

KUALA LUMPUR: Selepas isu sokongan daripada kumpulan akademik Profesor Melayu G70 menjadi hangat, dua ahli akademik yang namanya tersenarai dalam deklarasi tersebut tampil menyatakan hal sebenar.

Bekas Timbalan Ketua Kluster Ekonomi Majlis Profesor Negara (MPN), Ishak Yussof berkata, beliau difahamkan kumpulan ini hanya membuat deklarasi dukungan terhadap PRU15 yang telus dalam memilih pemimpin terbaik untuk Malaysia.

Bagaimanapun deklarasi itu tidak pula menyebut sokongan supaya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri.

”Ini saya setuju! Tidak pula saya dimaklumkan tentang menyatakan sokongan kepada mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dengan ini saya menarik diri dari Kumpulan G70 ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya.

Sebagai bekas ahli akademik tulen, Ishak memaklumkan dirinya mengambil pendirian non partisan di dalam politik dan tidak pernah menyatakan sokongan terbuka terhadap mana-mana individu untuk menjadi Perdana Menteri atau sokongan pada mana-mana parti.

Malah, beliau senada dengan MPN menghormati hak individu bercakap dan bersuara.

“Pun begitu, bukanlah hasrat saya untuk menggunakan kedudukan sebagai ahli akademik cuba mempengaruhi mana-mana pihak untuk memilih pemimpin atau parti di dalam piliharaya negara yang tercinta ini. Memilihlah secara bijaksana.

”Saya telah pun bersara dua tahun lepas dan tidak lagi wajar menggunakan gelaran profesor,” katanya lagi.

Selain Ishak, turut membuat penafian adalah Timbalan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi dengan menegaskan beliau menyokong prinsip kestabilan politik, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan umum.

Jelasnya, sewaktu sidang deklarasi itu dilaksanakan beliau tidak berada bersama dan tidak sama sekali terlibat.

Ahmad Mujahid menambah, beliau juga tidak pernah mengeluarkan kenyataan menyokong dan memihak kepada mana-mana pemimpin atau parti politik.

“Tidak tahu menahu bahawa nama saya telah dimasukkan dalam senarai deklarasi Profesor Melayu G70.

“Saya juga telah meminta nama saya dikeluarkan daripada senarai tersebut,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles