Dr. Zulkifli: Jangan Jadikan Tabung Haji Medan Pertikaian Politik

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan isu Tabung Haji (TH) sebagai bahan perseteruan yang berpanjangan.

Menurut beliau, TH adalah simbol keyakinan lebih sembilan juta pendeposit umat Islam Malaysia dan perlu dilindungi daripada sebarang polemik yang hanya merugikan.

“Tabung Haji berdiri atas asas kepercayaan ummah. Justeru, setiap keputusan mesti mengambil kira suara majoriti pendeposit, menjaga maruah agama serta menutup ruang fitnah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kontroversi timbul apabila proses penjenamaan semula TH dikaitkan dengan kos RM20 juta serta penglibatan syarikat bukan Islam.

Bagaimanapun, pihak pengurusan menegaskan jumlah sebenar hanyalah RM6 juta yang dibayar secara berperingkat selama tiga tahun.

Isu itu turut mendapat perhatian di Parlimen apabila Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary mempersoalkan penglibatan syarikat bukan Islam dalam projek berkenaan.

Dr. Zulkifli berkata, penjenamaan semula boleh diterima sebagai usaha memperkukuh daya saing dan imej global, namun sebarang perubahan wajib berpaksikan prinsip syarak serta sensitiviti umat.

“Ketika saya memegang jawatan Menteri, antara agensi terawal yang tampil menawarkan kerjasama memperkukuh Tabung Haji ialah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU). Ini membuktikan kekuatan ekonomi bumiputera tidak boleh dipisahkan daripada institusi Islam,” jelasnya.

Beliau menegaskan, tindakan yang mengganggu keyakinan pendeposit hanya akan melemahkan institusi itu yang selama ini menjadi lambang kepercayaan umat Islam di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles