Dr Yusuf, Penyelidik Malaysia Antara Yang Membangunkan Ujian Antibodi Di UK

Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Biologi di University of Sheffield, United Kingdom (UK) telah menghasilkan komponen virus SARS-Cov-2 untuk ujian antibodi Covid-19.

Menariknya, salah seorang daripada pasukan jurutera dan saintis berkenaan merupakan rakyat Malaysia, bernama Dr Yusuf Johari yang berusia 35 tahun.

Yusuf merupakan penyelidik bersekutu kanan dalam biopemprosesan dan molekul kompleks di universiti itu berkata, bahagian komponen iaitu glikoprotein ‘spike’ yang menonjol daripada permukaan virus digunakan untuk membuat kit ujian antibodi COVID-19.

Beliau berkata ujian antibodi berasaskan ‘spike’ ini adalah lebih teguh dan boleh dipercayai kerana ia akan membantu mendedahkan skala sebenar pandemik itu dalam populasi, ketetapan atau tahap imuniti dan sama ada vaksin digunakan berkesan.

“Walaupun ‘spike’ sukar dihasilkan, dunia kini ada, berdasarkan hasil kerja di Sheffield, proses biopembuatan yang lebih baik untuk molekul kompleks ini yang akan memungkinkan ujian antibodi Covid-19 yang sangat tepat.

“Ia berpotensi digunakan untuk pesakit Covid-19 yang pulih untuk menentukan antibodi dalam rembesan darah atau mukosa mereka yang secara khusus menyasarkan virus itu.

“Jika ia memberi keputusan positif terhadap pesakit yang sembuh, mereka mempunyai imuniti dan boleh mengembara dengan gembira atau mereka boleh memilih untuk menderma plasma mereka untuk membangunkan vaksin,” demikian memetik laporan Bernama.

Penglibatannya bersama pasukan penyelidik berkenaan bermula sejak dua bulan lalu, menyaksikan beliau kemudiannya dilantik sebagai penyelidik utama untuk proses penghasilan ‘upstream’ berdasarkan kepakarannya dalam biopemprosesan dan molekul kompleks.

“Ketua pasukan kami, Profesor David James merupakan pakar dalam penyelidik biofarmaseutikal di University of Sheffield.

“Oleh kerana komponen ‘spike’ Covid-19 adalah molekul sangat kompleks yang tidak boleh dihasilkan dengan mudah dalam kultur sel, makmal beliau di University of Sheffield boleh dikatakan sebagai tempat terbaik untuk membangunkan platform biopemprosesan optimum

“Pada masa ini, kami sedang menghasilkan ‘spike’ dalam kuantiti lebih besar untuk membolehkan Perkhidmatan Kesihatan Nasional melancarkan ujian antibodi kepada bahagian lebih besar dalam populasi UK serta terus meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran.

“Bahan ini kini berjaya digunakan oleh hospital tempatan di Sheffield dan makmal penyelidikan perubatan universiti,” katanya.

Yusuf memberitahu dirinya berasa gembira dilibatkan dalam pasukan penyelidikan berkenaan dan menyumbang ke arah usaha memerangi wabak Covid-19.

BBerkaitan

Latest articles