Dr MAZA Ingatkan Umat Islam Tidak Pandang Sinis Kemeriahan Masjid Di Awal Ramadan

KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan agar tidak memandang sinis terhadap peningkatan jumlah jemaah di masjid pada awal Ramadan, sebaliknya melihatnya sebagai tanda penghormatan terhadap bulan suci ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, menegaskan bahawa kehadiran ramai jemaah pada awal Ramadan mencerminkan keimanan mereka terhadap janji besar yang Allah SWT berikan sepanjang bulan ini.

“Jangan sama sekali kita kata ‘itu semangat masa awal sahaja’ atau ‘Ramadan baru nak nampak muka di masjid’. Kemeriahan masjid pada awal Ramadan adalah tanda umat ini mengagungkan syiar Allah SWT. Al-Quran menyatakan itu tanda jantung hati yang bertakwa,” katanya menerusi catatan di laman Facebook Dr. Maza Channel hari ini.

Menurut beliau, kelemahan sebahagian umat Islam untuk terus istiqamah sepanjang Ramadan adalah cabaran yang perlu diperbaiki, namun ia tidak seharusnya menghakis nilai positif sambutan awal yang meriah.

Umat Islam di Malaysia mula menunaikan solat sunat tarawih malam tadi dan memulakan ibadah puasa hari ini.

Mohd Asri turut menegaskan bahawa jika kehadiran Ramadan tidak disambut dengan peningkatan jemaah di masjid, ia boleh dianggap sebagai sikap tidak peduli terhadap kemuliaan yang dijanjikan Allah SWT.

“Apa yang menjadi tanggungjawab dakwah kita adalah sama-sama mengajak diri sendiri dan umat beristiqamah sepanjang Ramadan. Jangan kita pertikaikan fenomena yang baik ini, sebaliknya tingkatkan kesungguhan untuk terus istiqamah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles