Dr Mahathir Dapat ‘Nyawa’ Baru Jika Calon Bebas Menang

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini untuk tidak tersalah membuat pilihan dengan mengundi calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Tindakan sedemikian, tegasnya, akan memberi petanda bekas pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad masih diterima masyarakat meskipun selepas kejatuhan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) Februari lalu.

Ismail menambah jika Zainul Hisham menang pada PRK ini, maka ini akan memberikan ‘nyawa baru’ kepada bekas perdana menteri itu untuk kembali merebut kuasa politik demi kepentingan peribadinya.

“Calon bebas Tengku Zainul Hisham merupakan calon yang secara terbuka disokong oleh Tun Dr Mahathir jadi ini merupakan satu signal yang cuba tunjukkan bahawa jika dia menang di sini.

“Ini bermakna dia masih diterima oleh rakyat sebab itu pengundi-pengundi di sini mesti pastikan calon kita menang besar supaya kita beri signal kepada Dr Mahathir bahawa dia ditolak untuk menjadi Perdana Menteri kali ketiga.

“Dia (Mahathir) cuba meletakkan calon dia di sini dengan harapan kalau cara dia menang maka dialah mempunyai harapan untuk kembali menjadi Perdana Menteri yang kali ketiga ketika umur 95 tahun atau 96 tahun,” katanya dalam Ceramah Muafakat Demi Kestabilan – Pemimpin Bersama Rakyat di Bandar Dara, Chini semalam.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan sokongannya secara terbuka kepada Zainul Hisham, yang kini telah dipecat dari Bersatu untuk bertanding di PRK Chini.

BBerkaitan

Latest articles