Dr Mahathir Dakwa Bukan Dirinya Cadang Mukhriz Sebagai TPM2

Cadangan menjadikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri II dinyatakan secara bersama oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 22 Jun lalu.

Demikian menurut bekas pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menepis dakwaan bahawa dirinya bersungguh-sungguh mahu mengangkat Mukhriz ke jawatan kedua tertinggi itu.

Dr Mahathir kemudiannya mendakwa dirinya kini berasa serba salah atas cadangan nama Mukhriz itu, apatah lagi dikaitkan dengan kepentingan politik peribadi anak-beranak berkenaan.

“Cadangan ini tidak datang dari saya. Dalam kenyataan bersama Mohamad bin Sabu, Ketua Parti Amanah dan Lim Guan Eng, DAP pada 22 Jun, pelantikan Mukhriz sebagai TPM II sudahpun disebut.

“Saya berada dalam keadaan serba salah. Di waktu saya jadi Perdana Menteri kali pertama saya telah larang anak saya dari bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti Kerajaan. Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya,” katanya menerusi kenyataan.

Lebih lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata dirinya tidak pernah menghalang penglibatan anak-anaknya dalam bidang politik, begitu juga dalam menghalang cadangan mencalonkan Mukhriz sebagai TPM II.

“Tetapi apabila saya tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tanggungjawab menjaga nama saya, tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anak saya. Mereka dibebas untuk berpolitik. Jaya atau tidaknya politik mereka bergantung kepada diri mereka.

“Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya.

“Sama ada penjelasan saya ini dipercayai atau tidak, terpulanglah kepada masing-masing. Sudah tentu orang yang bermusuh dengan saya, akan bercakap sinis. Ini saya terima kerana memang pun ia adalah naluri manusia,” ujarnya lagi.

BBerkaitan

Latest articles