Dr M Pertahan DAP Lagi, Berang Asyik Didakwa Cuba Hancurkan Melayu

Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menepis tuduhan parti Cina yang pernah menjadi musuhnya suatu ketika dahulu, iaitu DAP, diwujudkan demi memusnahkan keistimewaan kaum Melayu.

Catatan di blognya, Che Det pada semalam berkata, orang Melayu boleh menjatuhkan kaumnya sendiri tanpa menunggu serangan dari pihak lain.

Malah bekas perdana menteri itu melahirkan rasa peliknya dengan sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seolah-olah termakan dengan hasutan terhadap DAP itu sehingga menyebabkan dirinya meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Bukan DAP yang boleh hancur orang Melayu. Orang Melayu yang boleh hancur DAP jika Menteri Dalam Negeri Melayu hanya batal sahaja pendaftaran DAP.

“Kuasa membatal ada pada Muhyiddin, jika ia nampak DAP akan hancur Melayu. Tetapi yang Muhyiddin berminat ialah mengguna DAP untuk menakut orang Melayu supaya mereka menyertai gerakan untuk menjatuhkan PH dan dia menjadi perdana menteri dengan sokongan Umno dan PAS,” demikian memetik tulisannya.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata adalah mustahil untuk DAP melakukan pengkhianatan terhadap rakan-rakan di dalam PH, apatah lagi parti pimpinan Lim Kit Siang itu hanya mempunyai enam menteri di dalam kabinet ketika gabungan itu memerintah.

Malah kata Dr Mahathir, apa jua dasar kerajaan perlu mendapatkan persetujuan darinya selaku perdana menteri.

“Ya. Memang dalam PH ada DAP. Walaupun DAP menang 42 kerusi, DAP hanya dapat enam menteri kabinet, sama dengan Bersatu yang menang hanya 13 kerusi tetapi dapat enam menteri juga. Dan ahli Bersatu dipilih sebagai perdana menteri dalam kabinet 28 menteri.

“Tak mungkin sama sekali DAP kuasai kabinet dengan enam orang menteri. Segala keputusan dalam kabinet perlu persetujuan 28 orang Menteri.

“Anggapan bahawa enam menteri kabinet boleh kuasai 22 Menteri lain tidak masuk akal. Lagipun persetujuan saya sebagai perdana menteri perlu didapati.”

Ujar Dr Mahathir, atas alasan yang disebutkan itulah menyebabkan mustahil buat dirinya kembali bekerjasam dengan Muhyiddin meskipun kedua-duanya antara yang bersama menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melawan kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Semalam Dr Mahathir memuji DAP dengan berkata parti itu sudah berubah menjadi lebih baik berbanding ketika ia mula ditubuhkan pada suatu ketika dahulu.

Malah ujarnya, DAP bukan lagi ‘parti Cina’ kerana kini membuka penyertaan kepada kaum Melayu, malah ada di kalangan pimpinan dan wakil rakyatnya dari kaum Melayu.

BBerkaitan

Latest articles