Dr M disapina ke prosiding RCI Pulau Batu Puteh 21 Jun depan

KUALA LUMPUR — Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disapina untuk hadir memberi keterangan pada prosiding Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 12 Jun depan.

Mantan perdana menteri itu berkata beliau sebelum ini telah meminta untuk hadir pada prosiding yang bermula pada 21 Mei lalu.

“Saya dan peguam menjangkakan kami dipanggil menghadiri prosiding itu sepanjang ia dijalankan kerana saya merupakan pihak berkait dengan perkara dibincangkan RCI berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga berharap prosiding RCI itu dapat dijalankan secara terbuka untuk orang awam bagi membolehkan beliau menjawab tohmahan terhadapnya berkaitan perkara berbangkit.

“Ini kerana sebelum ini pelbagai tohmahan dan tuduhan telah dituju kepada saya secara terbuka dan mendapat laporan media secara meluas.

“Tuduhan-tuduhan tersebut dibuat termasuk oleh ahli Jemaah Menteri sekarang antara lain saya membuat keputusan secara sembunyi-sembunyi dan secara sendirian,” katanya sambil menjelaskan semua keputusan itu dibuat atas nasihat peguam serta pakar perundangan dalam dan luar negara.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 mengisytiharkan Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia, dan Tubir Selatan menjadi hak kepada negara perairannya berada.

Malaysia memohon kepada ICJ supaya mentafsirkan penghakiman pada 2017.

Pada 2018, pentadbiran Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman Batu Puteh.

BBerkaitan

Latest articles