Dr Dzulkefly Tegaskan Batal WBB Bukan Keputusan Flip Flop

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tindakan kerajaan membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) diputuskan selepas bermesyuarat selepas berlaku kebocoran pekeliling sehingga mencetuskan pertikaian baru-baru ini.

Beliau juga menegaskan ia juga bukan keputusan ‘flip flop’, sebaliknya untuk memastikan libat urus dengan pelbagai pihak dapat dilakukan.

“Apabila pekeliling bocor, doktor lain seluruh negara tanya kenapa mereka tidak dilibat uruskan.

“Saya mengangkat perkara ini ke Kabinet. Setelah saya buat penerangan, Kabinet memutuskan sebaiknya saya batalkan dan teruskan dengan kajian untuk dapatkan pandangan daripada semua pihak.

“Bukan flip flop tapi satu ketegasan, saya akan libat urus secara sangat meluas,” kata Dzulkefly ketika menyampaikan ucapan Konvensyen Nasional 2024 hari ini.

Terdahulu ketika berucap, beliau menyifatkan kebocoran maklumat mengenainya WBB sebagai satu kesilapan yang akhirnya menjadi pertikaian.

“Itu puncanya WBB menjadi masalah, kerana mereka menuntut hak dilibatkan,” tambahnya.

Kerajaan pada Jumaat lalu memutuskan untuk membatalkan projek rintis Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) bagi membolehkan kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh dilaksanakan.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga terma rujukan jawatankuasa yang akan dibentuk berkait rapat dengan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penjadualan waktu kerja yang lebih baik.

Sebelum ini, Hartal Doktor Kontrak (HDK) mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menarik balik pekeliling cadangan pelaksanaan WBB, iaitu sistem syif baharu yang dicadangkan untuk petugas penjagaan kesihatan awam.

HDK menegaskan bahawa pekeliling tersebut perlu ditarik balik segera bagi mengelakkan kemerosotan moral dan kebajikan petugas kesihatan.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan WBB, yang dikhuatiri akan memburukkan lagi masalah kekurangan tenaga kerja sedia ada. Sistem ini juga dikatakan akan meningkatkan beban tugas doktor, sekali gus menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.

Langkah pembatalan ini dijangka memberi ruang untuk merangka pelan yang lebih mampan dalam usaha memperbaiki sistem penjagaan kesihatan negara.

BBerkaitan

Latest articles