KUALA LUMPUR: Pelaksanaan hukuman smerebat di khalayak ramai merupakan pilihan penguasa dan bukan hukum serta ketetapan yang dibuat oleh Allah SWT dan Rasul.
Dalam satu hantaran di Facebook, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pelaksanaan hukuman sebat seperti yang dilakukan di Terengganu, baru-baru ini, berada di bawah takzir yang merupakan ijtihad pemerintah ‘yang mungkin salah dan betul’.
Beliau juga melahirkan rasa bimbang sekiranya menyebat kes seperti itu di khalayak ramai bercanggahan dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu.
“Adapun khalwat, tiada penetapan syarak menyuruh mereka disebat di khalayak ramai.
“Bahkan, menyebat kes seperti itu di khalayak ramai dibimbangi bercanggahan dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu.
“Maka, menyebat kesalahan khalwat di khalayak ramai bukan hukum Allah dan RasulNYA, ia hanyalah pilihan penguasa semata.
“Di bawah takzir yang merupakan ijtihad pemerintah yang mungkin salah dan betul,” tulisnya.
Seorang lelaki menjadi individu pertama menjalani hukuman sebat di khalayak ramai atas kesalahan khalwat berulang.
Pelaksanaan hukuman itu berlangsung di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, Terengganu, dengan lelaki itu disebat sebanyak enam kali.
Seramai 90 individu termasuk exco kerajaan negeri menyaksikan pelaksanaan sebatan.
Sementara itu, Dr Asri turut menyentuh bantahan dan kritikan beberapa pihak berhubung hukuman sebat berkenaan.
“Maka, membantah hukuman itu hanyalah membantah keputusan pemerintah, bukan membantah ajaran Islam.
“Jangan ada yang terlebih lajak menganggap orang tidak bersetuju dengan hukuman itu tidak bersetuju dengan Islam,” ujarnya lagi.