More

    Dr Akmal Saleh Tawar Diri Bertanding Jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia

    Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh bersedia menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti akan datang, bagi mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

    Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka itu berkata, hasrat berkenaan disuarakan perwakilan dari beberapa negeri, susulan hasrat Asyraf Wajdi itu ketika menggulung perbahasan sempena Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Khamis lalu.

    Katanya, beliau dicadangkan oleh beberapa rakan perwakilan supaya bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, namun masih mempertimbangkannya lagi.

    “Berilah saya masa dalam seminggu dua ini untuk membuat keputusan. Hasrat saya hanya untuk mengisi kekosongan jawatan itu dan sudah pasti memantapkan lagi perjuangan Pemuda UMNO pada masa akan datang.

    “Apa-apa pun saya tetap bersedia dan sedia untuk berlawan (jika ada pertandingan),” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau ketika ditemui di Seri Negeri, di sini, hari ini.

    Dr Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka adalah pemimpin Pemuda UMNO pertama yang dikatakan akan mengumumkan hasrat bertanding merebut jawatan nombor satu sayap parti terbabit.

    Khamis lalu, Asyraf menyatakan pendiriannya untuk tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO akan datang sekali gus memberi laluan kepada muka baharu untuk menakhoda sayap parti itu.

    BebasNews

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini