KUALA LUMPUR: Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh tidak perlu melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, kata Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Beliau menegaskan jawatan itu adalah amanah untuk rakyat, bukan beban politik.
Nurulhidayah menekankan kepentingan jawatan tersebut dalam memperkukuh sektor pertanian, mempercepat penyampaian bantuan, dan menunjukkan UMNO masih relevan serta komited menyelesaikan masalah rakyat.
“Jawatan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk rakyat Melaka, bukan dijadikan alasan politik,” katanya.
Beliau juga menegaskan, desakan politik atau suara yang sengaja mencetuskan ketegangan tidak sepatutnya mengalihkan fokus pemimpin daripada tanggungjawab sebenar.
“Akmal tidak seharusnya tunduk kepada pihak yang mahu melihat UMNO berpecah. Hari ini, rakyat menilai siapa yang bekerja, menyatu, dan mempertahankan amanah,” tegasnya.
Dr. Muhamad Akmal sebelum ini mengesahkan beliau sudah meluahkan isi hati kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di WTCKL, berhubung kontroversi desakan supaya UMNO menilai kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan.










