KUALA LUMPUR: Datuk Dr. Akmal Saleh mengucapkan penghargaan kepada mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang berjaya mendedahkan isu sandwic ‘ham & cheese’ dua minggu lalu.
Hasil pendedahan tersebut membawa kepada tindakan undang-undang terhadap seorang pengarah syarikat yang didakwa menggunakan logo halal tidak sah serta menyalahgunakan cap dagang berdaftar di premis KK Mart cawangan UM. Pengarah terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak membiarkan pihak-pihak tertentu mengkhianati kepercayaan masyarakat.
“Pastikan halal yang asli, baru beli!” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam kes tersebut, Pengarah Urusan Shake & Bake Cafe, Ewe Sarn Yeun, 65, berdepan 14 pertuduhan melibatkan 356 sandwic pelbagai perisa. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd. Nor.
Pada 13 Januari lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan bahawa produk makanan ‘ham & cheese’ yang dijual di kedai serbaneka tersebut tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Menurut kenyataan Jakim, siasatan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu mendapati syarikat pengeluar produk itu bukan pemegang SPHM.