Dr Agus Akan Dipanggil Beri Keterangan Semula Esok

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merakam semula keterangan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff esok.

Ia bagi membantu siasatan berhubung video perbualan berunsur lucah yang tersebar di media sosial sejak Khamis lalu, kata Ketua Polis Negara.

Manakala penolong pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani juga akan dipanggil dan diambil keterangan dalam masa terdekat, kata Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi petang tadi.

Bagaimanapun tempat dan masa untuk mengambil keterangan daripada Mohammad Agus akan ditentukan kelak oleh pihaknya.

“Agus akan diambil keterangan semula pada 20 November 2023 (Isnin) manakala Wahab dalam tempoh terdekat (dipanggil rakam keterangan).

“Sementara itu, usaha mengenal pasti Mr H yang dikaitkan dalam kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Razarudin, selain Agus dan Wahab – beberapa lagi individu bakal dipanggil untuk membantu dalam kes ini.

“Ya, terdapat lagi individu-individu lain dijangka dipanggil bagi membantu siasatan lanjut. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu bergelar Mr. H dikaitkan dengan kes tersebut.

“Siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” tegasnya.

Siasatan kes berkenaan kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selepas mengambil alihnya daripada Polis Selangor.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dipetik berkata, pihaknya juga akan memanggil Agus dan Abdul Wahab untuk diambil keterangan.

Menurutnya, proses rakaman keterangan terhadap kedua-dua individu terbabit akan dijalankan dalam masa terdekat.

BBerkaitan

Latest articles