DPP Bukan Untuk Beri Kerakyatan, Jangan Politik Isu Keselamatan – KSU KDN

​PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bukan satu instrumen atau langkah untuk memberikan taraf kewarganegaraan kepada mana-mana pihak atau pelarian di negara ini.

​Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr Awang Alik Jeman berkata, pelaksanaan DPP adalah bertujuan untuk merekodkan maklumat dan bilangan sebenar pelarian yang berada di Malaysia demi kepentingan keselamatan negara.

​Beliau meluahkan rasa terkilan dan bingung dengan tindakan sesetengah pihak yang sengaja memutarbalikkan fakta serta membuat kempen di media sosial seperti TikTok bagi menentang pelaksanaan dokumen berkenaan.

​”DPP ini kita buat untuk kita tahu berapa bilangan sebenar orang yang datang ke negara kita demi keselamatan kita. Di mana mereka berada dan berapa jumlahnya, supaya kita ada maklumat yang tepat dan tidak hanya bergantung kepada anggaran entiti luar.

​”Tetapi ada pula pihak mendakwa KDN mahu beri kerakyatan kepada pelarian. Kita tidak pernah bertujuan sebegitu. Masalahnya, orang yang melempar maklumat itu tidak faham pun apa tujuan DPP,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

​Mengulas lanjut, Awang Alik meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan isu yang berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraman awam.

​”Saya rasa apa pun fahaman politik, setiap individu patut ada kesedaran untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara. Janganlah kita bergaduh pasal isu keselamatan.

​”Kalau ada sesiapa di luar sana yang bertanya mengenai DPP, tegaskan dengan jelas dan terang bahawa ia bukan untuk memberikan kewarganegaraan,” katanya.

​Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kejayaan KDN dalam perbincangan inisiatif bajet bersama Kementerian Kewangan baru-baru ini.

​Menurutnya, walaupun setiap kementerian hanya diberi kuota membentangkan lima inisiatif luar bajet biasa, ketegasan Saifuddin membolehkan KDN membentangkan 10 inisiatif, di mana tujuh daripadanya telah diluluskan.

​Beliau menggesa seluruh warga KDN untuk terus memberikan komitmen dan kerjasama padu bagi memastikan segala perancangan kementerian dapat dilaksanakan dengan berkesan.

BBerkaitan

Latest articles