DPMM Gesa Penguatkuasa Basmi Segera Pihak Sengaja Manipulasi Harga Barang

 

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menegaskan aktiviti pencatutan dan manipulasi harga barangan keperluan asas yang sedang berlaku kebelakangan ini sehingga membebankan para pengguna oleh sesetengah pihak amat tidak berpatutan.

Presidennya, Abdul Halim Husim menggesa penguatkuasaan lebih telus agar tiada pihak cuba menangguk di air keruh, selain berterusan mencari jalan terbaik membantu rakyat, antaranya dalam melonggarkan syarat berbentuk fiskal.

Katanya lagi, pihak terlibat dalam manipulasi harga barangan keperluan asas sehingga berlaku kenaikan perlu diheret ke muka pengadilan dengan segera.

“DPMM berharap agar agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dapat mengikut jejak langkah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) dalam mencari jalan terbaik membantu rakyat bukan sahaja daripada aspek melonggarkan syarat berbentuk fiskal semata-mata, tetapi memastikan juga penguatkuasaan yang lebih telus

“Kami mencela aktiviti pencatutan dan manipulasi harga khususnya barangan keperluan asas yang sedang berlaku dan menggesa kerajaan mengheret penjenayah sebenar ke penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bukan itu sahaja, Abdul Halim menambah DPMM berpandangan bahawa Malaysia masih ketinggalan jauh dalam sasaran pemulihan COVID-19 sepenuhnya berikutan keadaan semasa tidak menentu termasuklah kemunculan varian baharu Omicron dan boleh menyebabkan peningkatan kes lebih mudah.

Beliau berkata, ekonomi negara dilihat menguncup 4.5 peratus pada Julai hingga September tahun ini berbanding 16.1 peratus pada suku sebelumnya manakala Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion masih belum mampu mengekang impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus masih banyak perlu dilakukan kerajaan.

Begitu juga dengan kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini yang memaklumkan bahawa negara-negara miskin dan membangun akan lebih merasai bebanan Covid-19 jika krisis ekonomi negara anggota dibiar berterusan.

“Menurut Setiausaha Agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) pula, negara-negara membangun khususnya memerlukan beberapa tahun untuk mendapatkan kembali KDNK per kapita yang mereka miliki pada 2019, atau bakal kehilangan satu lagi dekad,” katanya.

Sehubungan itu dalam usaha membantu rakyat yang terus terhimpit, maka DPMM menggesa langkah yang lebih pragmatik perlu diambil kerajaan bagi menormalisasikan semua kehidupan masyarakat di negara termasuklah pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.

Jelasnya, bantuan itu seharusnya perlu dinikmati bersama oleh sektor ekonomi informal termasuk pertanian dan lain-lain.

“Semua bentuk premis, termasuklah premis perniagaan yang menerima manfaat moratorium hendaklah membenarkan penangguhan bayaran sewa kepada penyewa dan tidak membenarkan tindakan pengusiran atau pengisytiharan muflis sekurang-kurangnya sehingga enam bulan selepas tempoh moratorium berakhir.

“Selain itu, pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selama enam bulan untuk sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta tawaran rebat oleh operator telekomunikasi untuk untuk panggilan serta penggunaan internet tanpa wayar.

“Malah adalah perlu untukl memastikan syarikat-syarikat perbankan melonggarkan syarat-syarat kewangan mereka khususnya dana yang disalurkan daripada kerajaan agar lebih ramai PMKS menerima bantuan serta kemudahan kredit.

“Bank Negara perlu pastikan petunjuk prestasi utama (KPI) atau skala pematuhan yang berlainan khusus bagi menangani suasana ekonomi yang getir, atau ketika fasa pemulihan berkuatkuasa,” jelas beliau.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini