“Dosa Lebih Besar Dari Maksiat Lain” – Mufti WP Desak Hukuman Berat Penganjur ‘Glamping With Pride’

KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan penganjuran program yang dikaitkan dengan gaya hidup songsang adalah satu dosa yang jauh lebih berat berbanding maksiat besar yang lain.

Menurut beliau, individu yang benar-benar beriman dan berpegang kepada fitrah tidak akan meredai penganjuran program sedemikian.

Menerusi hantaran ringkas di laman Facebook hari ini, beliau menekankan bahawa tindakan tegas serta hukuman berat terhadap penganjur program seperti itu adalah wajar.

Katanya, penganjuran program yang bercanggah dengan fitrah dan nilai agama bukan sahaja merosakkan akhlak, malah boleh mengundang kemudaratan kepada masyarakat.

Isu itu timbul susulan bantahan pelbagai pihak terhadap penganjuran program ‘Glamping With Pride’ yang dijadual berlangsung di Hulu Langat pada 17 dan 18 Januari ini, yang dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Bagaimanapun, penganjur dilaporkan tetap mahu meneruskan program tersebut dengan alasan ia tidak melanggar undang-undang negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau rapi penganjuran program berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan pihaknya menerima lima laporan berkaitan iklan promosi program tersebut.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BBerkaitan

Latest articles