KUALA KRAI: Seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan meninggal dunia di bilik asrama di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritenden Mazlan Mamat, berkata pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak hospital kira-kira pukul 9.55 pagi.
Menurut beliau, sejurus menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai bersama anggota dari Balai Polis Kuala Krai segera ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah bilik asrama hospital berkenaan.
“Pemeriksaan di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang petunjuk yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Dalam pada itu, Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Kuala Krai di talian 09-9666222.










