PUTRAJAYA: Lelaki yang menyamar sebagai doktor dan mendakwa terbabit dalam proses bedah siasat ke atas remaja perempuan, Zara Qairina Mahathir, bakal dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengesahkan individu yang dikenali menerusi akaun TikTok ‘Dato Prof Dr Tunku Iskandar’ itu adalah seorang doktor palsu.
“Doktor itu palsu. Dia akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Grand Prix Kecerdasan Buatan (AI) 2025, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang maklumat lanjut mengenai pertuduhan perlu dirujuk kepada pihak polis kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanya bertindak sebagai agensi teknikal.
Individu itu sebelum ini dipanggil MCMC pada 19 Ogos lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Polis turut menyiasat lelaki itu di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataannya yang berbaur menghasut serta boleh menggugat ketenteraman awam.
Terdahulu, pada 16 Ogos, Fahmi mendedahkan bahawa suspek mendakwa hadir semasa proses bedah siasat Zara Qairina dijalankan pada 10 Ogos lalu menerusi siaran langsung di TikTok.
Namun, semakan Kementerian Kesihatan mengesahkan lelaki itu bukan pakar perubatan mahupun kakitangan kementerian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut menegaskan perkara itu berdasarkan laporan rasmi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Nor Azimi Yunus, yang mengesahkannya dengan pakar forensik yang mengendalikan kes tersebut.