KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi kepercayaan kepada Peguam Negara yang baharu dan pasukan pendakwa raya untuk memberi penjelasan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskannya (DNAA) dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Presiden UMNO itu berkata sebagai orang yang terlibat dalam kes berkenaan, beliau tidak mempunyai hak untuk membuat ulasan mengenainya.
“Tanya Peguam Negara kerana Peguam Negara telah wakilkan kepada pendakwa raya untuk menyatakan 11 fakta di mahkamah, jadi saya sebagai orang terlibat tidak ada hak untuk memberikan ulasan,” katanya.
“Saya beri kepercayaan kepada Peguam Negara yang baharu (dilantik Rabu lepas) dan pihak DPP untuk membuat penjelasan, jika perlu penjelasan itu dibuat, tetapi 11 fakta yang telah dikemuka di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur itu bagi saya telah memadai kerana mahkamah telah buat keputusan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Wanita di MRSM Batu Pahat, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Isnin lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.
Diminta mengulas laporan media mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa wujud tangan ghaib dalam kes berkenaan, Ahmad Zahid meminta beliau untuk fokus kepada tugasnya bagi membangunkan negeri berkenaan dan tidak hanya berjanji kosong.
“Tangan ghaib mungkin ada di Kedah tapi tidak ada di Johor, saya harap dia jalankan tugas sebaiknya untuk selesaikan masalah rakyat di Kedah dan fokus kepada tugas beliau untuk bangunkan negeri bukan hanya janji kosong pada pilihan raya yang lepas,” katanya.