DNAA: Jangan Hukum Saya Seolah-olah Saya Campur Tangan – PM

KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA), Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjelaskan beliau enggan memberikan ulasan sejak dari awal keputusan berkenaan kerana enggan dianggap masuk campur dalam keputusan mahkamah.

Namun, beliau mengakui ramai pihak, termasuk mereka dalam kalangan kerajaan sukar menerima keputusan DNAA Ahmad Zahid dari 47 kes salah guna kuasa.

“Saya tahu ramai yang tidak puas hati, itu betul. Itu hak mereka tanya Peguam Negara. Keputusan itu dibuat oleh mantan Peguam Negara yang dilantik oleh (Ahli Parlimen) Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

“Dia (Tan Sri Idrus Harun) bagi alasan yang bagi dia kuat. Saya dengar dan kalau saya bagi penjelasan saya sudah bias (berat sebelah).

“Di Singapura bila ditanya saya jawab, tapi saya dinasihatkan jangan tambah, kalau beri komen pasal 11 alasan itu seolah-olah terlibat.

“Saya tidak boleh jawab melainkan ini budi bicara oleh peguam Negara,” katanya ketika sesi menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Anwar juga menegaskan dirinya langsung tidak berbincang dengan Idrus berkenaan keputusan melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid.

Bahkan ketika dijelaskan oleh Idrus, Anwar juga bertanyakan apakah keputusan itu boleh ditangguhkan terlebih dahulu.

“Kenyataan sebelum ini seolah-olah Perdana Menteri campur tangan. Kita cakap dengan hukuman dan keadilan, bukan dengan andaian. Apakah saya berbincang? Bila Peguam Negara buat keputusan, saya tanya dia apa alasan, dia beri 11 alasan, bukannya bincang.

“Tan Sri Idrus terpaksa tarik atas alasan tertentu, saya cakap tidak boleh tangguh? Dia cakap tidak boleh. Saya tahu ramai tidak puas hati, termasuk kawan-kawan saya, tapi saya faham. Tapi, janganlah menghukum saya campur tangan.

“Adakah ada rujukan? Ada. Sebelum ini beberapa rujukan membabitkan beberapa kes, Oleh kerana kes DNAA ini melibatkan kes dibangkitkan, akhirnya keputusan dibuat Peguam Negara,” katanya.

Dalam pada itu Anwar berkata keputusan DNAA bukan perkara baharu, malah, pernah berlaku membabitkan beberapa kes sebelum ini dan menjadi rujukan.

BBerkaitan

Latest articles