Disyaki Jual Telefon Untuk Beli Dadah, Punca Lelaki Ditetak Parang

MELAKA: Perselisihan faham mengenai sebuah telefon bimbit dipercayai menjadi punca seorang lelaki maut selepas diserang dengan parang oleh rakannya sendiri di hadapan rumahnya di Kampung Sungai Udang, malam tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun dilaporkan bertengkar dengan suspek berusia 44 tahun berhubung telefon bimbit milik lelaki tersebut yang sebelum ini dipinjamkan kepada mangsa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa didakwa gagal memulangkan semula telefon berkenaan dan sering memberi pelbagai alasan kepada suspek.

Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan syak wasangka apabila suspek percaya mangsa telah menjual telefon berkenaan bagi mendapatkan bekalan dadah.

“Suspek yang berang kemudiannya bertengkar dengan mangsa sebelum dipercayai bertindak menyerang menggunakan sebilah parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami beberapa kecederaan parah, termasuk sekurang-kurangnya tiga tikaman di bahagian dada kiri yang akhirnya meragut nyawanya.

Dalam kejadian itu, abang mangsa yang berada di rumah cuba mengejar suspek, namun lelaki tersebut berjaya melarikan diri kira-kira 300 meter sebelum bersembunyi di dalam sebuah kereta milik orang awam.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini membenarkan suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin bermula hari ini hingga 18 Mac bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna oren dan bergari tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.05 pagi.

BBerkaitan

Latest articles