IPOH: Seorang wanita bersama anak saudaranya parah selepas dipercayai ditikam oleh abang kandung wanita terbabit dalam satu kejadian mengejutkan di sebuah rumah di Taman Bandar Baru, Kampar, semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihak polis menerima laporan berhubung insiden tersebut daripada mangsa wanita berusia 56 tahun kira-kira jam 7.35 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di ruang tamu sebuah rumah dua tingkat yang turut didiami suspek bersama dua mangsa terbabit.
Katanya, wanita berkenaan yang merupakan adik kepada suspek serta anak lelaki suspek berusia 22 tahun mengalami kecederaan serius selepas masing-masing ditikam beberapa kali di bahagian leher kiri.
“Kedua-dua mangsa ditikam tiga kali pada bahagian leher kiri dan kini berada dalam keadaan kritikal.
“Mereka telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian itu, suspek lelaki berusia 58 tahun yang tidak mempunyai pekerjaan turut mengalami kecederaan pada tapak tangan kiri.
Mohamad Nazri berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengalami halusinasi dan sebelum ini pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Fatimah.
Susulan kejadian itu, suspek telah dirujuk ke Hospital Tanjung Rambutan bagi pemeriksaan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.










