Dipaksa Belajar, Remaja Tergamak Tikam Ibu, Abang Hingga Mati

 

MELAKA: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 17 tahun bertindak di luar kawalan apabila menikam ibu dan abangnya hingga maut, dalam kejadian ngeri di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, awal pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi, dipercayai berpunca daripada tekanan dan dendam kerana sering dipaksa belajar oleh ibu dan abangnya.

“Suspek mengaku merancang pembunuhan ini lebih awal. Dia membawa pisau lipat sepanjang 20 sentimeter dalam beg sekolahnya dan menikam ibunya yang juga seorang guru, beberapa kali di leher, pinggang dan belakang badan,” katanya pada sidang media di IPK Melaka hari ini.

Abang suspek, 21, cuba menghalang tindakan kejam itu tetapi turut maut dengan beberapa kesan tikaman, manakala adik bongsu mereka berusia 13 tahun mengalami kecederaan parah ketika cuba menyelamatkan ibu dan abang mereka.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu. Adik yang cedera kini stabil dan sedang menerima rawatan di hospital,” ujar Dzulkhairi.

Suspek ditahan dan ditemui dalam keadaan  termenung di hadapan rumah, beberapa jam selepas kejadian.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar turut menunjukkan remaja itu cuba membuang barang bukti termasuk pisau yang digunakan.

Ujian air kencing mengesahkan suspek negatif dadah dan alkohol, dan akan direman bermula esok di Mahkamah Melaka bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh).

BBerkaitan

Latest articles