“Dimana Hati Dan Perasaan Manusia?” – Anwar Selar Pihak Tertentu Perlekeh Usaha M’sia Bangunkan Gaza

KUALA LUMPUR: Malaysia tetap dengan pendirian membantu membangunkan semula Gaza, meskipun menerima kritikan daripada pihak tertentu, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata melalui Projek Bandar Wakaf, Malaysia akan membina masing-masing sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk di sana.

Katanya, Kerajaan Malaysia dan Jepun juga sepakat membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

“Ada yang kata tak cukup, satu pihak ini dia kata kita main-main, (projek) ini jumlahnya ratus juta.

“Ada pula golongan yang kononnya cerdik, pemimpin-pemimpin lama dulu ada seorang dia kata…sekolah kita pun tak selesai, nak tolong orang lain.

“Ini perasaan hati manusia bagaimana? Kita tolong orang kampung lain, orang boleh kata kampung kamu pun belum selesai, tapi dalam Islam dia tidak pernah fikir begitu,” katanya.

Anwar ditemui di majlis kenduri rakyat di pekarangan Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, hari ini.

Reaksi Anwar menyusul selepas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, dilaporkan menggesa pemimpin negara memberi keutamaan kepada keperluan rakyat, sebelum memulakan rancangan membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.

Dakwa Rafidah, kerajaan perlu memberi perhatian kepada negara terutamanya kepada keadaan yang menyedihkan seperti masalah di sekolah dan hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadat.

Mengulas lanjut Anwar berkata tidak ada sebarang isu berkenaan bantuan negara untuk Gaza dan rakyatnya.

“Kesengsaraan yang dihadapi oleh umat Islam Gaza, Palestin ini jarang berlaku dalam hidup kita.

“Sejak Perang Dunia Kedua sampai sekarang, inilah malapetaka paling dahsyat yang menimpa umat Islam dan umat manusia. Hancur lebur negerinya, dihina terus, tidak diberi pengiktirafan sama sekali.

“Anak kecil, wanita dan sekolah habis dimusnahkan dan bila kita nak tolong sedikit apa jawapan mereka? Oh, nak selesaikan masalah.

“Saudara… sampai kiamat pun ada masalah dalam negara tidak mungkin selesai, ada sahaja yang kurang-kurangnya, tetapi kita lakukan sedikit ini (bantu pembangunan Gaza),” katanya.

BBerkaitan

Latest articles