KUALA LUMPUR: ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tidak mengambil serius spekulasi kononnya beliau akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Terdahulu desas-desus bekas Menteri Belia dan Sukan itu bakal dilantik jawatan berkenaan bertebaran selepas Reezal menang PRN Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, beliau sentiasa akur dan setuju dengan keputusan yang diambil oleh kepimpinan tertinggi kerana kesetiaannya kepada parti.
“Saya anggap spekulasi ini adalah angan-angan oleh netizen kerana saya adalah bekas menteri tapi kita kena faham gelanggang di peringkat negeri ini berbeza dan saya dianggap sama sahaja seperti yang lain.
“Saya tidak mengambil serius spekulasi itu,” katanya.
Reezal Merican menegaskan bahawa keutamaannya dalam PRN kali ini adalah untuk menebus kekalahannya di Kepala Batas pada PRU15.
Untuk rekod ,Reezal menewaskan penyandang Khaliq Mehtab Mohd Ishaq calon dari Perikatan Nasional (PN) di DUN Bertam dengan majoriti 2,321 undi.
Sementara itu Reezal yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno memberi jaminan akan memainkan peranan aktif sebagai ahli “backbenchers” (penyokong) kerajaan Pulau Pinang, terutama sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sekarang negeri ini memerlukan backbencher yang kuat dan saya akan memainkan peranan itu dalam DUN,” katanya kepada Bernama bagi mengulas pembentukan barisan exco Pulau Pinang.
Beliau turutu mengalu-alukan pembentukan barisan exco komposisi campuran muka lama dan baharu yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing.