Dikecam Pertahan Pemandu Honda Jazz, Kakak Akhirnya Tampil Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang merupakan kakak kepada pemandu Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan maut di Senawang pada 6 Mac lalu tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia atas kenyataannya sebelum ini.

Nur Athirah Najwa mengakui kesilapannya mempertahankan adiknya yang menyebabkan kemalangan tersebut, sehingga menimbulkan kemarahan ramai.

“Saya ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa dan seluruh rakyat Malaysia atas hantaran serta komen keterlaluan saya sebelum ini yang telah menyinggung banyak pihak.

“Saya menyedari bahawa saya membuat hantaran itu dalam keadaan emosi. Saya benar-benar kesal dan memohon maaf,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini.

Terdahulu, Nur Athirah menerima kecaman susulan beberapa kenyataan yang dibuat di media sosial mempertahankan adiknya, meskipun bukti rakaman video dan siasatan polis menunjukkan sebaliknya.

Rakaman papan pemuka yang tular serta kenyataan Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din, mengesahkan bahawa pemandu Honda Jazz berkenaan memandu secara berbahaya dan melanggar lampu isyarat merah.

Lebih mengejutkan, pemandu yang berusia 18 tahun itu juga didapati tidak memiliki lesen memandu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, dua beradik berusia 15 dan 16 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh.

Selain itu, kemalangan turut menyebabkan penunggang serta pembonceng sebuah lagi motosikal mengalami kecederaan serius.

BBerkaitan

Latest articles