Digesa Pecat, Diserang Isu Surat Sokongan – Shamsul Iskandar Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Dalam perkembangan terkini, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Shamsul, surat rasmi peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada pagi tadi.

Beliau menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas mendakwa wujud percubaan untuk menjatuhkan imejnya dengan tuduhan yang turut mencalarkan reputasi Kerajaan Madani.

“Saya memilih untuk mempertahankan diri daripada serangan ini,” katanya dalam satu hantaran di platform X.

Peletakan jawatan Shamsul berlaku susulan desakan pelbagai pihak yang menuntut beliau dipecat berikutan dakwaan mengeluarkan surat sokongan bagi menyenaraikan enam kontraktor dalam projek sebuah hospital.

Isu tersebut turut mendapat teguran tegas daripada Anwar yang menekankan bahawa setiausaha politik tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang surat sokongan rasmi bagi projek kerajaan, selain hanya dibenarkan membuat catatan ringkas seperti “sila teliti semula”.

Shamsul, yang juga Ketua PKR Melaka, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peluang dan kepercayaan yang diberikan kepadanya sebelum ini.

BBerkaitan

Latest articles