Didenda RM3,500 Selepas Mengaku Salah Ugut Sebar Gambar Bogel Bekas Kekasih

Mahkamah Majistret Bahau hari ini menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM3,500 terhadap seorang lelaki selepas mengaku salah mengugut menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya pada pertengahan Januari lalu.

Majistret, Muhammad Hidayat Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Fazrul Mohd Fuzi, 26, dari Kuala Pilah selepas tertuduh mengaku kesalahan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, yang juga seorang penganggur menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada jam 7.07 malam 17 Januari lalu, di Taman Desa Putera, Muhammad Hidayat didapati melakukan ugutan jenayah dengan niat mahu menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya yang berusia 22 tahun menerusi aplikasi WhatsApp.

Oleh yang demikian tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 akta yang sama.

Siasatan polis mendapati, tertuduh memiliki gambar dan video aib milik teman wanitanya itu di dalam telefon bimbit tertuduh.

Tindakan tertuduh untuk mengugut menyebarkan gambar aib berkenaan dilakukan setelah wanita itu tidak mahu meneruskan hubungan dengannya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa, Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BBerkaitan

Latest articles