MELAKA: Seorang ejen pelaburan berusia 53 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan termasuk memiliki dan menyebarkan gambar lucah serta membuat ugutan jenayah terhadap madunya yang juga seorang guru, Mac lalu.
Tertuduh, Herni Sofini Omar, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan mangsa dengan menyebarkan gambar-gambar lucah melalui kiriman surat, kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh membuat ugutan jenayah terhadap mangsa melalui surat tanpa nama, menyembunyikan identiti sendiri, mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, Herni didakwa memiliki gambar-gambar lucah madunya dalam telefon bimbit ketika berada di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, IPD Melaka Tengah pada 2 Jun lalu, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, memperuntukkan penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kedua-dua kesalahan pertama didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sayang Selasih, Melaka Tengah sekitar jam 2 petang pada 27 Mac lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib sebelum itu mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Namun, peguam tertuduh, Baharudin Baharim merayu jaminan lebih rendah iaitu RM4,000 bagi semua pertuduhan atas alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap, baru selesai pembedahan kanser serta telah ditinggalkan suami ekoran kes ini.
Beliau juga memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah melarang pengadu daripada mengeluarkan kenyataan kepada media.
Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Ogos ini untuk sebutan semula kes.