KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat tampil menjelaskan beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai menegaskan, beliau tidak pernah mengelak daripada proses undang-undang, malah telah menyerahkan semua dokumen diperlukan serta memberikan keterangan kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, siasatan tersebut bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah bermula sejak beberapa tahun lalu.
Sepanjang tempoh itu, beliau mendakwa sentiasa bersikap terbuka dan bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM.
“Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap individu berhak mendapat keadilan dan dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang Exco kerajaan negeri Terengganu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menyalahgunakan kedudukan sebagai anggota pentadbiran negeri dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan.
Beliau didakwa mengarahkan kedua-dua anaknya dilantik bekerja di dua anak syarikat milik kerajaan negeri pada tahun 2018 dan 2020. ADUN berkenaan ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata beliau memahami pelbagai persepsi dan spekulasi boleh timbul dalam suasana politik semasa.
Namun, beliau memilih untuk tidak melayan spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada proses perundangan.
Katanya, rakyat mampu membuat penilaian secara adil berdasarkan fakta dan bukannya persepsi yang tidak berasas.
“Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab dan akan terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti,” tegasnya.
Difahamkan, beliau dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada jam 9 pagi ini susulan siasatan tersebut.










