KUALA LUMPUR: Operasi membanteras rasuah melibatkan rangkaian pusat urut terkemuka terus diperhebat apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima lagi individu, termasuk empat pegawai penguat kuasa dan seorang pesara agensi penguat kuasa, semalam.
Empat daripada suspek terbabit direman selama empat hari sehingga 2 Februari 2026 selepas Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.
Seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 60-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara jam 5 hingga 7 petang, semalam.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai menerima suapan daripada syarikat pengendali pusat urut bagi memastikan operasi berjalan lancar, selain membantu meluluskan permit pekerja asing,” katanya.
Setakat ini, seramai 16 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sumber sama memaklumkan, SPRM turut menjalankan penggeledahan di enam lokasi sekitar Lembah Klang melibatkan pejabat dan kediaman individu yang dikenal pasti berkaitan kes itu.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM membekukan sebanyak 124 akaun bank milik individu dan syarikat dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM13.3 juta.
“Siasatan awal mendapati rangkaian pusat urut berkenaan menggunakan sistem perakaunan dua lapis, di mana kira-kira 80 peratus transaksi tunai tidak dilaporkan, sekali gus menyebabkan kebocoran cukai dianggarkan RM7.56 juta setahun.
“Selain itu, bayaran rasuah sekitar RM2.7 juta setahun dipercayai disalurkan kepada beberapa pegawai daripada pelbagai agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai wang perlindungan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Beliau turut berkata, siasatan kini diperluaskan bagi mengenal pasti elemen kesalahan jenayah lain, termasuk aktiviti pengubahan wang haram.










