Dakwaan Keluar UMNO, Tengku Zafrul Akan Bincang Dengan Presiden Dahulu

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, berkata sebarang keputusan mengenai keahliannya dengan mana-mana parti akan dibincangkan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terlebih dahulu.

Malah perkembangan berkenaan keahlian partinya akan dibuat selepas perbincangan berkenaan.

“Saya kena sampaikan kepada Datuk Seri Zahid terlebih dahulu,” katanya selepas menghadiri program amal Golf KITA 2025 di sini yang dirasmikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Baru-baru ini, timbul spekulasi Tengku Zafrul akan meninggalkan UMNO selepas didakwa tiada masa depan politiknya dengan parti itu.

Malah laporan media turut menyebut beliau pernah dipelawa menyertai PKR beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, beliau sedia maklum dengan laporan media berhubung cadangan pihak tertentu supaya beliau dilantik duta besar Malaysia ke Amerika Syarikat selepas penggalnya sebagai senator berakhir Disember ini.

“Bagi saya, apa-apa pun jawatan yang diberi sekarang atau pada masa hadapan, itu terpulang kepada perdana menteri,” katanya sambil menambah fokusnya kini meneruskan tugas penting di kementerian, termasuk memainkan peranan dalam menjayakan komitmen Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini.

BBerkaitan

Latest articles