KUALA LUMPUR: Seorang wanita, Che Muna Din, menerima notis tunjuk sebab daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa berunsur menghina mahkamah dalam prosiding inkues kematian remaja, Zara Qairina Mahathir.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, notis berkenaan diserahkan semalam mengikut Aturan 52 Kaedah 2B, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook menggunakan nama “Mona Din” pada 4 September lalu dikatakan mempertikai keterangan saksi, Dr Jessie Hiu, pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Menurut AGC, kenyataan itu berisiko menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat dan boleh mengganggu perjalanan prosiding inkues yang sedang berlangsung.
“Penghantaran notis ini adalah sebahagian daripada proses untuk memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah,” jelas kenyataan tersebut.
AGC turut mendedahkan bahawa pertuduhan jenayah akan difailkan dalam masa terdekat terhadap beberapa individu lain yang mengeluarkan kenyataan berkaitan kes sama.
“AGC memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan. Pihak kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu prosiding,” katanya lagi.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kekeliruan atau menjejaskan proses mahkamah.
Untuk rekod, Zara Qairina, 13 tahun, ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth.
AGC sebelum ini mengarahkan inkues dijalankan pada 13 Ogos selepas meneliti laporan siasatan yang diserahkan polis.