KEMAMAN: Seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu ditahan selepas disyaki menyalahgunakan kuasa bagi membolehkan dua anaknya mendapat jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Penahanan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 11.15 pagi tadi ketika suspek hadir memberi keterangan di pejabat agensi itu di Kemaman.
Lelaki berusia lingkungan 60-an itu dipercayai terlibat dalam perbuatan berkenaan sekitar tahun 2018 dan 2020.
Menurut sumber, individu berkenaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Exco serta Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat milik kerajaan negeri untuk mengarahkan agar kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua anak syarikat GLC terbabit.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna jawatan atau kedudukan untuk suapan.
Beliau berkata, suspek dijangka akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.










