Dia Seronok Tunjuk Kekayaan, Rakyat Kelantan Bergelut Hidang Makanan Atas Meja

KUALA LUMPUR: Sudah-sudahlah menyalahkan pihak lain atas kegagalan sendiri selama lebih 30 tahun menjadi kerajaan negeri Kelantan.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok juga menyelar Tan Sri Annuar Musa yang didakwanya tidak merasai keadaan sebenar kemiskinan dan penderitaan rakyat di Kelantan yang kerap dimanipulasikan PAS kononnya negeri itu dianak tirikan Kerajaan Persekutuan.

“Annuar kini sebagai jurucakap kepada PAS selepas menjadi jurucakap kepada UMNO telah memainkan kad mangsa.

“Kononnya segala yang menimpa rakyat dan Kelantan adalah salah orang lain, kecuali kepimpinan PAS di Kelantan yang telah ditadbirnya selama beberapa dekad.

“Rakyat Kelantan bergelut untuk meletakkan makanan di atas meja dan menampung kehidupan (sedangkan Annuar) seorang pemimpin yang mempamerkan kekayaannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam masa yang sama, Teresa juga mempersoalkan lima perkara yang dinyatakan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu untuk tidak mengundi calon Kerajaan Perpaduan, sedangkan isu utama masa kini adalah apakah tawaran PAS untuk mengatasi kemiskinan di negeri itu.

“Kelantan kekal di tempat kedua selepas Sabah, antara negeri termiskin di negara ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji untuk menghapuskan kemiskinan mutlak menjelang akhir tahun ini.

“Ia sememangnya satu tugas sukar tetapi mempunyai rancangan yang sedia mendorong kemahuan politik untuk melaksanakannya.

“Adakah Kerajaan Negeri Pas telah berikrar untuk menamatkan kemiskinan di Kelantan?

“Apakah tawaran PAS untuk pengundi di Kelantan jika diberi mandat bahawa mereka akan menamatkan kemiskinan?” soalnya.

Sehubungan itu Teresa menggesa Annuar berhenti mengelirukan rakyat Kelantan, lebih-lebih lagi dalam meraih undi dalam PRN akan datang, walhal PAS sendiri gagal memberi jaminan perubahan dalam beberapa kali pilihan raya dalam tempoh lebih 30 tahun ini.

BBerkaitan

Latest articles