‘Dia’ Minta Pemuda UMNO Hormat Saluran Parti, Tapi ‘Dia’ Tak Dengar Suara Kita

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO sentiasa mengikut saluran parti dengan betul lebih-lebih lagi jika melibatkan kritikan terhadap parti dan kepimpinannya.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh bagaimanapun menegaskan sayap itu tidak teragak-agak untuk bertindak lebih agresif sekiranya suara dan cadangan sayap parti itu tidak didengar barisan kepimpinan parti.

“Dia minta pemuda hormati saluran kita hormati, kita tidak kurang ajar kita bincang baik-baik tapi kalau suara Pemuda tidak didengar maka berhadapanlah dengan suara Pemuda satu Malaysia.

“Saya tidak akan pernah takut dan gentar bawa suara saudara semua ini janji saya. Kita akan mengadap (kepimpinan) tidak akan tinggal satu pun suara.

“Kita bagi apa mereka nak, kita ikut apa mereka nak tapi saya tidak akan teragak-agak jika suara kita terus dibakul sampahkan untuk kita bertindak jauh agresif daripada hari ini,” katanya ketika berucap sebelum diskusi Post-Morterm Pilihan Raya 6 Negeri Pemuda UMNO ‘Di Mana Salah Kita’, malam tadi.

Akmal hanya menggunakan ‘dia’ tanpa menyebut mana-mana nama pemimpin UMNO secara khusus.

Post-mortem itu diadakan selepas Barisan Nasional (BN) hanya menang 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam PRN baru-baru ini.

Sebanyak empat slot diskusi yang diadakan malam ini secara tertutup.

Dalam masa yang sama, Dr Akmal memberi jaminan semua cadangan, pandangan dan pendirian yang disuarakan oleh anggota Pemuda pada malam ini akan disampaikan kepada kepimpinan UMNO.

“Saya tidak akan pernah takut dan gentar bawa suara saudara semua ini janji saya. Kita akan mengadap (kepimpinan) tidak akan tinggal satu pun suara,” tambahnya.

Terdahulu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata, semua ahli sayap menggalas tanggungjawab dan peranan untuk memartabatkan kembali parti yang kini dilihat berada di prestasi yang merudum.

Sehubungan itu, katanya, UMNO perlu berani melakukan perubahan.

“Apa sekali pun UMNO mesti berubah. Apa sekali pun kita telah diubah. Apa sekali pun, jika kita terus lena dibuai mimpi satu hari nanti UMNO pasti akan dikuburkan dan kita tidak membenarkan perkara itu terjadi.

“Tugas kita berat hari ini, sangat berat. Apa yang kita putuskan hari ini inilah yang akan menentukan perjalanan kita sebagai Pemuda UMNO selepas ini.

“Saya tidak gentar walaupun ditekan, tidak berganjak walau ditolak saya tidak memekakkan telinga, tidak membutakan mata kerana yang penting adalah kita mesti memartabatkan UMNO,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles