KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa semua ahli parti agar memberi ruang sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin untuk menyiasat kemelut dalaman yang sedang melanda, tanpa sebarang gangguan luar.
Muhyiddin menegaskan, Lembaga Disiplin telah diberikan mandat penuh untuk bertindak adil, telus dan berdasarkan Perlembagaan parti.
“Saya amat memahami keresahan ahli berhubung cabaran yang sedang dihadapi. Namun yang paling penting ialah semua kekal bertenang, berdisiplin dan yakin isu ini diuruskan melalui saluran sah parti. Sebarang tindakan luar hanya akan melemahkan parti dan membuka ruang kepada musuh politik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengingatkan bahawa Bersatu kini sedang berdepan perjuangan lebih besar iaitu memperkukuh parti, memperkasakan PN dan membela kepentingan rakyat.
“Saat inilah kita diuji. Saya menyeru seluruh ahli agar terus teguh, saling menyokong dan menzahirkan kesetiaan kepada perjuangan parti. Dengan kesabaran serta disiplin, saya yakin kita akan keluar lebih kuat dan lebih bersatu,” tegasnya.
Bersatu kini bergolak selepas pendedahan mengejut bekas Ketua Penerangan parti, Datuk Wan Saiful Wan Jan minggu lalu.
Antara dakwaannya, laporan siasatan forensik mendapati video intim yang pernah mengaitkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Sandakan pada 2019 adalah tulen.
Wan Saiful menegaskan kontroversi itu menjejaskan kelayakan Azmin sebagai pemimpin parti sekiranya tidak diselesaikan segera.
Selain itu, beliau turut menjelaskan akuan bersumpah (SD) yang melibatkan 120 ketua bahagian bukanlah untuk mendesak Muhyiddin berundur, sebaliknya bagi menyokong mandat MPT dalam menyusun pelan peralihan parti.