Di Sebalik Desakan Berundur, Ahmad Zahid Kongsi Potongan Surah Al-Hujurat, Anjur Pendamaian

KUALA LUMPUR: Apa yang penting pada tempoh ini selepas berakhirnya enam Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah kembali memperkukuhkan perpaduan dan menguatkan persaudaraan.

Itu harapan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain berkata tumpuan perlu diberikan untuk membangunkan negeri dan negara secara bersama.

Malah, dalam tempoh ‘hangat’ ini juga, Presiden UMNO itu turut berkongsi ayat 10, surah al-Hujurat yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.

“Jadikanlah firman Allah SWT yang saya kongsikan ini sebagai satu pegangan dan landasan utama untuk kita kembali bertaut setelah baru selesai fasa memilih wakil kepada rakyat untuk meggalas amanah yang diberikan.

“Ini masanya untuk kita berganding bahu membangunkan kehidupan yang harmoni dengan semangat saling hormat menghormati, berempati dan menjaga hak serta keadilan agar tertegaknya sebuah negara yang stabil dan sejahtera,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Desakan dari akar umbi supaya pucuk pimpinan parti melakukan perubahan bagi menarik semula sokongan rakyat terutamanya orang Melayu kuat kedengaran selepas BN hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Selain penyokong dan ahli, beberapa pemimpin UMNO juga lantang mendesak Ahmad Zahid berundur bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu yang lebih berwibawa untuk memulihkan parti dan BN.

Bagaimanapun Ahmad Zahid memberitahu, Islam menganjurkan umatnya untuk berlapang dada dan mencari damai agar mereka bersatu mengerah segala kudrat dan tenaga untuk bergerak secara kolektif dalam mewujudkan perubahan positif yang menyumbang ke arah kebaikan bersama.

“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar wujudnya kesepakatan dan lahirnya kesepaduan di dalam meneguhkan perpaduan agar terbinanya sebuah negara yang beroleh keberkahan-Nya dan Malaysia terus berada di bawah lindungan rahmat-Nya,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles